Khamis, 15 November 2012

JOM BELAJAR....( pNeUmATiK )


PNEUMATIK
  •       Sistem Pneumatik merupakan sistem yang menggunakan udara termampat sebagai medium pemindahan kuasa. Udara termampat diambil daripada udara sekeliling yang telah dimampatkan dengan menggunakan pemampat udara (compresor) kendalian motor elektrik. Sistem Pneumatik banyak digunakan di dalam industri pemasangan komponen elektrik, makanan dan industri yang lain.
PRINSIP - PRINSIP SISTEM PNEUMATIK
  •           Prinsip sistem pneumatik : - Sistem pneumatik yang mudah mengandungi pemampat,           pengering dan penyejuk,  penapis udara, pengatur tekanan, alat pelincir, injap kawalan berarah, penyenyap, injap kawalan aliran dan silinder. Fungsi komponen tersebut secara ringkas adalah: -

     Pemampat                                   
  • Memampat udara tekanan atmosfera.


               Pengering dan penyejuk  
  • Untuk menyejukkan udara dan mengeluarkan pemeluwapan.


               Penapis udara               
  • Mengasingkan bendasing daripada udara  termampat.


               Pengatur tekanan           
  •  Melaraskan tekanan mengikut keperluan  sesuatu sistem.

                                                               
                Alat pelincir                      
  • Menyembur minyak pelincir ke dalam udara  termampat untuk                                                       dibawa ke   bahagian  bergerak seperti injap kawalan berarah                                                         dan omboh  dalam silinder.                                                    

               Injap kawalan berarah    
  • Mengawal arah udara termampat ke liang yang tertentu.


               Injap kawalan aliran         
  • Mengawal kadar aliran termampat ke silinder.

                                                         
              Penyenyap                       
  • Mengurangkan bunyi bising yang  dihembuskan melalui liang ekzos yang tertentu.                                                                                                                                                                    

              Silinder                             
  • Sejenis penggerak yang digunakan untuk  membuat kerja.  

                                                        
 FUNGSI BAHAGIAN - BAHAGIAN DALAM SISTEM PNEUMATIK
  •  Pengering dan penyejuk
Udara termampat yang disalurkan daripada pemampat adalah bersuhu tinggi. Udara termampat juga mengandungi wap air yang boleh mengakibatkan pemeluwapan keluar melalui liang injap kawalan berarah. Bagi mengurangkan pemeluwapan berlaku, pengering dan penyejuk dipasang diantara pemampat dan penerima. Ini bertujuan untuk menyejukkan udara termampat dan menghasilkan pemeluwapan. Pemeluwapan boleh dibuang melalui injap salur yang disediakan pada alat pengering dan penyejuk.

  •  Penapis udara
      Udara termampat mungkin mengandungi bendasing seperti habuk dan pasir halus. Bendasing ini boleh mengganggu pergerakan bahagian yang bergerak. Oleh itu penapis udara( rajah di bawah) dipasang pada talian Pneumatik untuk menapis bendasing. Dalam penapis udara terdapat pemesong, penyekat dan elemen penapis. Pemesong menyebabkan udara termampat berpusar lalu mengasingkan bendasing dan pemeluwapan. Bendasing akan terperangkap di bawah mangkuk. Penyekat menghalang bendasing dan pemeluwapan daripada berpusar kembali ke udara termampat. Bendasing yang lebih halus tetapi tidak diasingkan oleh pemesong akan ditapis oleh elemen penapis sebelum udara termampat disalurkan ke komponen lain dalam sistem pneumatik. Bahan elemen penapis diperbuat daripada kertas atau logam. Pemeluwapan yang bertakung dalam mangkuk penapis boleh dibuang dari masa ke semasa dengan membuka palam saluran.
  •   Pengatur tekanan
            Biasanya tekanan udara dalam penerima dilaraskan tinggi sedikit daripada tekanan yang diperlukan oleh sistem pneumatik. Ini adalah untuk memastikan tekanan udara yang akan dibekalkan kepada sistem pneumatik sentiasa berada pada tahap yang dikehendaki. Tekanan udara itu mesti dilaraskan sekali lagi sebelum disalurkan ke alat pneumatik untuk mencegah kerosakan pada sambungan litar pada komponen pneumatik. Pengatur tekanan boleh ubah (rajah dibawah) digunakan untuk melaraskan dengan memutar tombol. Apabila tombol diputar arah lawan jam, gegendang akan menolak pegas ke atas dan menyebabkan liang injap menjadi lebih kecil. Ini akan menurunkan tekanan udara yang mengalir ke sistem pneumatik. Tekanan yang telah dilaraskan ditunjukkan oleh tolok tekanan. Proses sebaliknya juga boleh berlaku.


GAMBARAJAH 1 : PENGATUR TEKANAN

  •  Alat pelincir
         Minyak pelincir diperlukan untuk memanjangkan hayat dan melicinkankan pergerakan komponen pneumatik tertentu seperti kili injap kawalan berarah darn omboh silinder. Udara yang mengalir melalui liang alat pelincir (rajah dibawah) menekan minyak pelincir dalam mangkuk. Minyak itu naik melalui tiub sifon dan menitis melalui tiub titis. Minyak menitis tidak bercampur dengan udara termampat secara terus tetapi mengalir keluar dari muncung lalu bertukar menjadi kabus. Kabus minyak terapung dan selepas itu mengalir keluar bersama udara termampat. Kadar titisan minyak pelincir boleh dilaraskan pada alat pelincir dengan memusingkan skrunya. Minyak pelincir tidak sesuai digunakan dalam proses pemakanan kerana ia boleh mencemarkan makanan semasa diproses. Biasanya, memproses makanan menggunakan alatan tanpa alat pelincir.

  • Injap kawalan berarah
         Injap kawalan jenis kili digunakan dengan meluas dalam sistem pneumatik. Injap kili 5/3 (rajah di bawah) menunjukkan udara termampat memasuki ruang silinder melalui liang masuk P ke A dan udara ekzos dari silinder keluar melalui liang B ke liang ekzos S. Kedudukan kili boleh dialihkan dengan mengenakan daya pada mana-mana hujung kili tersebut. Kedudukan kili ini boleh dialihkan dengan gerakan mekanikal, manual, udara, elektrik (solenoid) ataupun cecair.


GAMBARAJAH 2 : INJAP KAWALAN BERARAH 
  •  Penyenyap
         Udara daripada silinder yang dihembus melalui liang ekzos injap kawalan berarah akan menghasilkan bunyi yang kuat. Biasanya penyenyap dipasang pada liang ekzos untuk mengurangkan bunyi tersebut.



GAMBARAJAH 3 : PENYENYAP

  • Injap kawalan aliran
         Injap ini mengawal kelajuan gerakan omboh silinder dengan mengawal kadar alir udara termampat. Rajah di bawah menunjukkan injap kawalan aliran boleh ubah jenis jarum. Kadar aliran udara termampat boleh dilaraskan dengan menukar pelarasnya.

GAMBARAJAH 4 : INJAP KAWALAN ALIRAN
  •  Penggerak
         Silinder adalah sejenis penggerak yang digunakan untuk melakukan kerja. Rajah a di bawah menunjukkan silinder tindakan satu arah dengan satu liang dan kembalikan pegas. Tekanan daripada udara termampat yang memasuki liang akan menghasilkan daya bertindak ke atas omboh. Apabila daya mengatasi daya pegas, omboh akan digerakkan. Setelah bekalan udara termampat dihentikan, daya pegas akan mengembalikan omboh ke tempat asalnya. Pada silinder tindakan dua arah (rajah b) terdapat dua liang bagi udara termampat mengalir keluar atau masuk.





GAMBARAJAH 5 (A) : SILINDER
SILINDER TINDAKAN SATU ARAH DENGAN SATU LIANG DAN KEMBALIKAN PEGAS


GAMBARAJAH 5 (B) : SILINDER
SILINDER TINDAKAN DUA ARAH


PENYAMBUNGAN ALAT PNEUMATIK

  1. Komponen pneumatik disambung untuk membuat kerja.
  2. Penyambungan injap kawalan berarah 3/2 kepada silinder tindakan searah.
  3.       Liang A pada injap kawalan berarah disambung kepada liang 1 di silinder. Apabila kili berada        dalam keadaan neutral, udara termampat tidak memasuki silinder kerana aliran tersekat di liang P. Setelah kili dialih ke kedudukan kedua, udara termampat boleh mengalir dari liang A dan memasuki ruang silinder. Udara termampat menolak omboh ke kiri seperti dalam rajah di bawah.
   Kili berada dalam keadaan neutral dan dalam keadaan kedua.

GAMBARAJAH 6 : PENYAMBUNGAN INJAP KAWALAN BERARAH 3/2 KEPADA SILINDER TINDAKAN SEARAH